Sunday, November 1, 2009

Perjalanan Yang Bakal Bermula....

Buat Cikgu Mas, saudara Manzlie, Tuan Rezeki & semua yg ada, saya mengucapkan terima kasih atas ketenangan .
Saya akan bertolak pada 05.11.09
Pd kesempatan ini, saya memohon kemaafan jika ada yg terlepas kata.

Tuesday, October 27, 2009

Surat Pengesahan Cuti Haji

Tarikh yang dijangkakan ialah pada 14 November 2009. Menurut Puan Ainus Syamsyi, Surat Pengesahan Cuti untuk dihantar kepada pihak majikan boleh diambil di pejabat BTT hari ini. Jadi, petang ini terus ke pejabat BTT di KB dan memang pihak BTT telah menyiapkan Surat tersebut. Ini merupakan suatu kewajaran untuk memuji pihak pengurusan BTT, kerana kita tidak perlu menunggu untuk mengambil apa yang dijanjikan tadi. Sebaliknya, mereka telah menyiapkan dan apabila sampai, sudah boleh diserahkan.

Sambil berbual, dinyatakan bahawa kesemua yang mendaftar dengan BTT telah diberi kebenaran untuk melaksanakan ibadat Haji pada musim ini. Kelihatannya,pihak BTT tidak menang tangan kerana bakal-bakal jemaah mula hadir untuk membayar tambahan pakej yang diambil. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadratNya di atas jemputan ke Tanah Suci.

Di kedai berhampiran, stokin, sarung tangan, dan kai tudung dibeli untuk persiapan lanjut. Berkenalan dengan beberapa makcik, nampaknya mereka turut sama untuk menyiapkan bekalan ke Tanah Suci kelak.

Makin mendekati hari, keterujaan serasa makin menjalar ke dalam diri. Namun, dalaman ini turut menyedari pentingnya untuk terus muhasabah diri. Semoga jendela yang tidak diingini akan terus tertutup kemas. Moga Allah mengekalkan kami dalam peliharaanNya. Kami mengharapkan rahmatMu, Ya Allah.....

Gelang,Buku Haji dan Botol Spray

Ke pejabat TH PM untuk menanyakan jadual penerbangan Haji. Jawapan yang masih seperti sebelum ini, iaitu jadual belum ada untuk penerbangan akhir. Pegawai bertugas, En. Din memasukkan data ke dalam komputer dan seterusnya menyerahkan gelang pengenalan haji, buku-buku panduan perjalanan, doa dan soal jawab haji. Juga disertakan ialah borol spray untuk memudahkan urusan mengambil wuduk kelak.

Kesemua barangan ini menambahkan kerinduan hati untuk ke sana.

Ya Allah, permudahkanlah kami menjadi tetamuMu kelak....

Thursday, October 22, 2009

Selamat Berangkat, Tetamu Allah

Beberapa penerbangan telah pun berlepas. Di dalamnya tetamu-tetamu Allah yang bakal mengunjungi Tanah HaramNya. Perasaan mereka mungkin tidak tergambar oleh kita di sini. Namun, suatu yang pasti, keterujaan mereka semestinya membuak-buak. Antara kesyahduan meninggalkan segalanya di tanah air, dengan kepiluan untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah.

Seorang sahabat, Cikgu Hadi telah berlepas pagi ini dari stesyen berlepas di Terengganu. Kemudahan moden membolehkan ucapan selamat berangkat disalurkan melalui SMS. Juga pertemuan dengan beliau kelmarin tambah mengujakan diri sendiri. Semoga beliau dan semua mereka diberi kesihatan, dan kemudahan olehNya. Berserahlah sepenuhnya kepada kekuasaanNya.

Dalam debar hati merenungi keberangkatan sahabat dan semua yang telah berada di Tanah Suci Madinah, hati ini semakin berdebar menunggu tarikh yang ditetapkan.

Ya Allah, perkenankanlah permohanan hambaMu ini.....

Monday, October 19, 2009

Lambaian Kaabah - Perjumpaan di PPD PM

Pagi ini, diadakan perjumpaan antara bakal-bakal tetamu Allah dengan Pegawai PPD PM dan YBbhg Dato'Hj Hanafi B. Mamat, Ketua UMNO Bahagian PM. Bertempat di dewan PPD, kami mendengar taklimat dan saranan yang amat berguna sebagai panduan di sana. Ramai juga guru di PPD PM yang akan berangkat ke Tanah Suci pada musim ini.

Di pengakhiran majlis, YBbhg Dato' telah menyampaikan sumbangannya kepada semua bakal tetamu Allah. Terima kasih di atas penghargaan ini....

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamuMu di sana....

Pembelajaran Ada Di Mana-Mana

Setiap pagi radio IKIM menjadi suatu kemestian untuk santapan minda. Pagi ini pun masih begitu. Banyak ilmu dan info boleh diperoleh di samping celoteh Z & Z yang kadang-kadangnya mengundang senyum sendirian. Begitu bijak mereka mengeluarka patah-patah kata.

Pagi ini dikhaskan untuk ruangan Haji. Pendengar boleh menyampaikan salam kepada handai taulan yang akan berangkat ke Tanah Suci. Selain itu, tip-tip untuk pelaksanaan ibadat Haji juga boleh diperturunkan untuk panduan bakal-bakal tetamu Allah yang akan berangkat kelak.

Banyak info dapat dikutip menerusi saranan pendengar yang telah pergi sebelum ini. Daripada penjagaan kesihatan, amalan meminum air zamzam hinggalah bagaimana mengelakkan hilang arah di Tanah Suci kelak. Seorang bekas pramugara memberikan ulasannya berkaitan sikap membasahkan lantai di tandas semasa penerbangan. Seorang pendengar juga meminta agar bakal-bakal tetamu Allah menanamkan sikap kesabaran semasa melaksanakan ibadat tawaf dan saie. Banyak lagi yang dapat dijadikan panduan di sana nanti.

Sememangnya, ilmu itu berada di mana-mana. Tidak semestinya ia diperoleh secara formal di dalam kelas, mahupun di dalam kursus-kursus yang diikuti selama ini. Ilmu dari pengalaman tetamu-tetamu Allah amatlah mahal dan tidak ternilai. Mereka desaya mungkin ingin memberikan ingatan kepada bakal-bakal tetamu Allah ini. Ambillah pengalaman mereka sebagai pedoman semasa di sana.

Ya Allah, kami pohonkan keredhaanMu di dalam menjalani ibadat ini.....

Saturday, October 17, 2009

Hati Yang Tersentuh (Sirah Rasulullah)

Antara yang sering diulang baca ialah tentang Perang Hunain. Walaupun diulang berkali-kali, namun setiap kali itulah juga hati menjadi begitu sayu, tersentuh dengan ucapan Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah :

Selepas kemenangan di pihak Islam, Rasulullah s.a.w. membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Penduduk Makkah yang baru memeluk Islam diberikan lebih banyak harta rampasan perang. Tindakan baginda itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan segelintir individu kaum Ansar, hingga timbul kata-kata yang kurang baik di belakang baginda. Kata Mereka,"Apabila bertemu kaum Quraisy, kita dilupakannya. Sedangkan darah musuh belum kering dari mata pedang kita." Demikianlah antara kata-kata segelintir orang Ansar yang menyinggung perasaan Rasulullah s.a.w.

Baginda kemudiannya menceritakan perkara sebenar yang menjadi isu. Baginda bersabda yang bermaksud,\;

"Aku berikan harta rampasan kepada penduduk Makkah, semata-mata hendak memujuk hati mereka yang baru sahaja memeluk Islam. Sementara kaum Ansar pulang ke Madinah walaupun tanpa harta rampasan perang, tetapi mereka akan pulang bersama Nabi Allah. Mana lebih baik, pulang bersama Nabi Allah ataupun dengan harta rampasan perang?"

Semua kaum Ansar menitiskan air mata selepas mendengar penjelasan daripada Rasulullah s.a.w.Mereka kesal kerana mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan kepada Rasulullah s.a.w. berhubung isu harta rampasan perang.....

Thursday, October 15, 2009

Diam atau berterus terang?

Sesungguhnya kami ke sana semata-mata untuk menuntut keredhaanMu. Jauhilah hati kami daripada sifat-sifat tercela. Ya Allah, kami mengharapkan keredhaanMu.

Kami telah memilih BTT untuk ke Tanah Suci. Kemudiannya, bilangan sebilik juga telah kami pilih. Bayarannya juga telah dijelaskan. Sebolehnya, kami tidak mahu membincangkan hal tersebut. Niat yang ikhlas sahajalah yang perlu disemai.

Tetapi, apabila berada dalam lingkungan yang ramai, akan ada yang bertanya tentang bilangan rakan dalam bilik kita. Ingin disembunyikan, rasanya tidak wajar. Bila dinyatakan pula, komentar pertama yang ditujukan kepada kita pula ialah, "Tentu kamu tidak mahu berkawan di sana kelak."

Mengapa begitu pandangan mereka?

Ya Allah, jauhilah kami daripada perkara-perkara yang tidak Engkau redhai....

Taklimat Haji Perdana BTT

BTT mengadakan Taklimat Haji Perdana untuk bakal-bakal jemaah Haji yang akan mengikuti pakej Haji dengannya. Hampir 400 jemaah berdaftar, dan sebilangannya telah mendapat pengesahan penerbangan kerana mereka mengambil perjalanan awal. Kegembiraan jelas terpancar dari raut wajah bakal-bakal tetamu Allah ini.

Sepanjang taklimat, bakal-bakal jemaah didedahkan sekali lagi dengan perjalanan ke Tanah Suci, dan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan kelak. Penerangan yang jelas memudahkan lagi pemahaman. Bolehlah dikatakan ianya merupakan kesinambungan kursus-kursus Haji sebelum ini. Boleh dibayangkan keadaan di sana, serta kerja buat yang akan dilakukan kelak.

Pengalaman musim Haji yang lepas dijelaskan sebagai panduan menghadapi masa yang akan mendatang. Peringatan tentang perkara-perkara yang sewajarnya diambil perhatian oleh semua bakal jemaah juga menarik perhatian. Apa pun, kesabaran adalah perkara yang perlu ditanam dalam diri setiap bakal jemaah Haji. Ini kerana kita akan berhadapan pelbagai situasi tidak terduga yang menuntut sikap sabar.

Ramai yang akan ke Tanah Suci bersama pasangan masing-masing. Tidak kurang yang bersama mereka ialah ibu, bapa atau mentua. Maka, sekali lagi kesabaran yang mendalam perlu disemai dalam jiwa. Dan, sifat ini mestilah dibajai dari tanah air lagi, dari masa kini. Biarkan ianya bercambah terus-menerus hingga ke akhirnya.

Perhimpunan yang ramai sebegini semestinya akan menemukan kita dengan seseorang yang tidak disangka. Tidak disangka seorang saudara Ummi turut hadir ke taklimat ini. Bukankah ini hikmah dariNya jua?

Ya Allah, ampunilah kami, kekalkanlah kami dalam keredhaanMu......

Wednesday, October 14, 2009

Kursus Haji Perdana - 4 (Ingatan dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz)

Majlis Perasmian Kursus Perdana disempurnakan oleh YAB TG Menteri Besar Kelantan. Beliau mengimamkan solat Isyak dan kemudiannya memberikan ucapan. Perkara pertama yang disentuh oleh beliau tentang pembinaan saf untuk bersolat jemaah Isyak. Teguran yang ringkas tetapi pedas dan menusuk kalbu. Sememangnya untuk bersolat Isyak, masa yang diambil untuk membetulkan kedudukan saf agak lama. YAB TG meminta jemaah meninggalkan sikap kekampungan dalam perkara beribadat, terutamanya solat, kerana kesemua yang berada di dalam dewan sebenarnya akan ke Tanah Suci. Justeru, mengapa perbuatan tidak menggambarkan bahawa kita akan berangkat ke sana tidak lama lagi? Diperingatkan juga agar sentiasa berusaha untuk berada di saf hadapan di Tanah Suci kelak, kerana ganjaran pahala yang begitu besar.

Beberapa perkara yang disentuh oleh YAB TG begitu mengesankan. Beliau mengingatkan jemaah agar mengambil iktibar dari setiap perbuatan semasa mengerjakan haji kelak. Antaranya ialah :

1)Jangan ke Tanah Suci semata-mata untuk mengerjakan haji dan umrah, tetapi juga untuk melihat sendiri tempat pertama Nabi saw berdakwah di Safa.
2)Safa juga merupakan kisah cinta Siti Hajar kepada anaknya, Ismail. Sewaktu saie, ingatlah tentang kisah pengorbanan Siti Hajar ini.
3)Apabila melakukan korban, ingatlah kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.
4)Lebih baik jemaah Haji berdoa dalam bahasa Melayu, daripada bahasa Arab sekiranya tidak memahaminya. Sesungguhnya Allah mengetahui segala sesuatu.

Ya Allah! Jadikanlah kami hambamu yang bersyukur atas nikmatMu yang tidak terhingga...

Tuesday, October 13, 2009

Kursus Haji Perdana - 3 (Perjalanan Bermula)

IKBN Tangok merangkumi suatu kawasan yang luas. Ianya sesuai untuk menjadi tempat sesuatu majlis seperti ini. Pada sebelah petangnya, bakal-bakal jemaah telah melaksanakan program Umrah yang mengambil tempat di dalam dewan dan sekitarnya. Mulai pukul 11.00 malam pula, aktiviti berjalan seperti dirancang. Jemaah akan dibawa untuk melontar di jamrah. Perjalanan beramai-ramai seolah-olah suatu pesta.Begitu panjang dan padat. Ini sekadar hampir 2,900 jemaah. Pun terpaksa bersesak-sesak. Apatah lagi kelak jemaah yang berganda-ganda jumlahnya akan bergerak melalui jalan yang sama.

Rupanya, jemaah berjalan melebihi 3 km di sepanjang malam itu. Sedikitpun tidak terasa kepenatan. Mungkin kerana perjalanan beramai-ramai. Tidak kurang menarik perhatian ialah jemaah yang terpaksa menaiki kerusi roda untuk bergerak. Semangat dan ketabahannya sewajarnya menjadi teladan kepada ramai yang tidak sabar-sabar dalam melaksanakan sesuatu.

Seperkara yang menarik juga ialah betapa kemesraan antara pasangan suami isteri begitu ketara dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti. Raut muka yang jernih menggambarkan kerinduan untuk menjadi tetamu Allah kelak. Berpaut tangan menyelusuri perjalanan melebihi 3 km sesungguhnya keajaiban dalam melestarikan keinginan ke sana.

Ya Allah! Jadikanlah hati kami tetap untuk mencari keredhaanMu...

Monday, October 12, 2009

Kursus Haji Perdana - 2 (Seakan di sana)

Selepas solat Asar, program pertama ialah melaksanaka tawaf dan saie Umrah, serta bergunting untuk bertahallul. Dengan berpakaian ihram selengkapnya, seolah-olah berada di sana.... Debaran untuk mengunjungi rumahNya makin terasa. Dan apabila diumumkan bahawa tawaf akan melibatkan kesemua hampir 2900 bakal jemaah haji, dapat dibayangkan betapa sesaknya kelak. Untuk menjadikan suasana seperti di sana nanti, bakal jemaah dibenarkan melaksanakan tawaf dengan pasangan masing-masing. Dapat dilihat kebanyakan jemaah ke sana ke mari mencari pasangan, tapi hanya segelintir yang dapat berjumpa. Ini baru hanya 2900 manusia, bukannya 3 hingga 4 juta yang akan dihadapi kelak.

Memulakan tawaf dan melakukan segala yang dipelajari selama ini, di samping penerangan oleh Ustaz dari pentas, menjadikan suasana begitu mengesankan. Kepadatan manusia menyebabkan peluh membasahi tubuh. Namun,suasana yang dirasakan tidaklah terlalu panas. Selesai 7 kelilingi, bucu kain Ihram dijadikan pengelap muka yang masih basah. Hampir 20 minit memakan masa menyelesaikan tawaf.

Di luar Dewan, Cikgu Hadi menyatakan bahawa padatnya manusia semasa melakukan tawaf tadi, hanya sedikit berbanding suasana sebenar kelak.

Ya Allah! Jadikan diri ini sentiasa ingin melakukan kebajikan.

Sunday, October 11, 2009

Kursus Haji Perdana - 1 (Perjalanan yg panjang)

Dalam surat dinyatakan masa pendaftaran antara jam 2.30 hingga 3.30 petang. Selepas itu akan diberi taklimat berkaitan kursus. Memandangkan tempat kursus di IKBN tidaklah begitu jauh dengan tempat tinggal, rasanya setengah jam boleh tiba di sana. Jadi, dalam pukul 3.00 petang baru beransur ke tempat kursus. Perjalanan begitu lancar, kecuali apabila terpaksa mengekori sebuah kereta yang begitu perlahan gerakannya. Rupa-rupanya, sedang berbual dengan penumpang di sebelah. Apa yang sepatutnya ialah mereka memberikan laluan kepada kenderaan lain.

Setibanya di persimpangan menuju ke IKBN, kesesakan yang amat sangat. Jarak lebih kurang 10 kilometer mengambil masa hampir setengah jam. Kesabaran diuji di sini. Pemerhatian yang dibuat memperlihatkan sikap tidak bersabar oleh pemandu. Ada yang mula memotong dari sebelah kiri dan sebagainya.

Dalam fikiran ini, mengapa tidak boleh bersabar. Bukankah kita sedang menuju ke satu arah? Bukankah kita bakal berada dalam suasana yang amat tidak kondusif di sana? Maka, keperluan terhadap sikap sabar amat-amat dituntut. Mulakanlah di tanah air lagi.

Ya Allah, jadikanlah daku antara hamba-Mu yang sentiasa bersabar menempuh ujian-Mu.

Monday, September 28, 2009

Sukarnya Meminta Maaf

Mengapa dikatakan tentang kesukaran memohon kemaafan? Jika kita perhalusi, tiada apa sebenarnya yang menyekat kita daripada mengungkapkan patah-patah kata,"Maafkan saya". Pada hari raya contohnya, ungkapan tersebut sentiasa membasahi bibir. Setiap kali bersua rakan, jiran, mahupun ahli keluarga, kata-kata tersebut akan meluncur laju. Kemudiannya, kita akan saling bersalaman. Dengan ibu bapa pula, ucapan tersebut kita hulurkan setulus hati."Ampunkan dosa saya, ayah, ibu". Serentak dengan itu, kita akan mencium penuh takzim kedua tangan kedua ibu bapa yang amat kita sayangi itu.

Anak-anak kita juga akan mengungkapkan kata-kata keramat itu tatkala bersalaman dengan kita. Isteri juga turut mengucapkannya, bersama juraian air mata, menandakan keikhlasan hati memohon kemaafan. Kita, selaku anak kepada kedua ibu bapa,mahupun sebagai ayah kepada anak-anak,dan suami buat isteri tersayang, akan menganggukkan kepala, sambil mengucapkan bahawa kemaafan telah diberikan. Sesungguhnya, kemaafan itu lahir dari sanubari yang suci. Sama-sama menjernihkan suasana.

Jadi, apa sukarnya meminta maaf?

Sesungguhnya, kesukaran yang amat sangat apabila kita, selaku ketua keluarga yang perlu mengungkapkan kata memohon kemaafan itu terhadap anak-anak kita. Sebenarnya, kita pasti menyedari bahawa dalam kehidupan seharian, ada kalanya tindakan kita selaku ketua rumah tangga yang melampaui batas. Kita menjadikan anak-anak sebagai tempat meluahkan kemarahan tidak bertempat. Sedikit kesilapan akan memungkinkan tindakan yang tidak berpegang kepada akal waras. Kita kadang-kadang keterlaluan dalam membetulkan kesalahan anak-anak.

Inilah yang menyukarkan kita memohon maaf daripada mereka. Kadang-kadang selepas beberapa ketika, apabila kita kembali ke alam nyata, dan menyedari kesilapan sendiri, kita akan membawa anak-anakkecil tadi ke tempat lain. Tujuannya untuk menghapuskan ingatan anak-anak nterhadap perbuatan kita tadi. Membawa mereka menikmati makanan di restoran, ataupun membelikan mereka sesuatu. Beberapa detik kemudian, mereka akan kembali kepada kehidupan asal, seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa. Kita pun akhirnya turut sama menghilangkan kenangan pahit tersebut.

Itulah yang Abah alami kelmarin. Dalam kepenatan, tiba-tiba Angah tambah mengocakkan suasana. Maka, sedikit kemarahan dihamburkan, seolah-olah Angah melakukan suatu kesalahan yang amat besar. Hanya selepas beberapa ketika, barulah Abah menyedari kesilapan tersebut. Namun, dalaman Angah mungkin telah berkocak. Rasa bersalah membuak dalam diri Abah. Amat-amat bersalah sebenarnya. Tiga patah perkataan iaitu "Abah minta maaf" begitu berat untuk disuarakan. Ego yang tinggi.

Sehinggalah tadi, akhirnya Abah mengungkapkan juga kata-kata, "Angah, Abah minta maaf". Mata bening Angah seolah-olah menyatakan kemaafan. Setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi. Perjalanan ke sana akhirnya berjaya mengubah persepsi Abah kini. Ya Allah, jadikanlah keluarga kami sentiasa di dalam keredhaanMu.....

Thursday, September 24, 2009

Sekalung Penghargaan Buat Prof MKI





Abah sekadar mengenali Profesor Mohd kamil Ibrahim ini melalui internet. Blog beliau amat terkesan di hati Abah. Semuanya bermula dengan pencarian terhadap ibadat haji dan akhirnya, Abah terjumpa ruangan Prof tersebut. Bermula dari situ, Abah tidak ketinggalan mengikuti setiap nukilan beliau. Kadang-kadang, Abah akan memberikan sedikit komentar di ruangan berkenaan. Kemudahan SMS turut Abah gunakan untuk berhubung dengan beliau. Beberapa persoalan yang Abah lontarkan mendapat respon sewajarnya, hinggakan seakan-akan beliau bukanlah seorang Pengarah Pusat Pengajian Tinggi, sebaliknya seorang sahabat rapat. Tiada riak atau nada ego mahupun tinggi diri dapat dilihat daripada penulisan beliau.

Beberapa buah hasil karya Prof MKI berada dalam simpanan Abah. Travelog Haji, Traveloh Dakwah serta VCD Motivasi Haji yang bertandatangan beliau. Membaca Travelog Haji, membawa diri Abah jauh ke sana. Memotivasikan jiwa untuk turut sama mendapat hidayaNya. Seperkara yang menarik, kita hanya perlu nyatakan nama dan alamat penuh, dan kemudiannya bahan tersebut akan dihantar oleh beliau. Atas dasar kejujuran itulah, Abah merasakan tiasa siapa yang ingin atau tergamak membuat penipuan terhadap beliau. Itulah Prof MKI.

Hari ini, sambil Abah ingin ke masjid untuk solat Zohor, Abah terpandang beberapa pucuk surat terikat kemas di dalam peti surat. Apabila diambil, salah satunya menarik perhatian Abah kerana ianya bercop negeri Johor, sedangkan seingat Abah, tiada rakan dari sana. Abah keluarkan kad Hari Raya dari dalam sampul, dan tergamam seketika melihat kandungannya. Kad Hari Raya dari seorang Profesor, yang tidak terjangkau dalam fikiran Abah akan mengirimkan untuk Abah. Siapalah Abah untuk diingati oleh seorang Pengarah Kampus. Sekali lagi, itulah Prof MKI.

Ruangan kecil ini rasanya tidak terlihat oleh Prof MKI. Namun, Abah nukilkan di sini setinggi-tinggi penghargaan buat beliau sekeluarga. Semoga dirahmatiNya sentiasa. Amin.

Wednesday, September 23, 2009

Berhari Raya di Taman Kurnia Jaya

Cik Dah menghantar mesej bertanyakan kenapa tak datang ke rumah untuk beraya? Biasanya, tiap-tiap kali Hari Raya, Abah sekeluarga akan ke rumah emak saudara Ummi tu. Bila terima mesej, baru teringat belum lagi ke rumah mereka. Bertolak selepas solat Asar, tibanya hampir jam 6.30 petang. Kesesakan jalan raya begitu terasa.

Sedia ada di rumah Cik Dah ialah Mak Long sekeluarga yang tiba lebih awal lagi. Menjamu selera dengan mee yang baru disiapkan, kami bersolat Maghrib di rumah Cik Dah. Selepas itu, saling bertukar cerita. Abah dengan Ayah Kie dan Ummi pula di sebelah sana bersama emak saudaranya. Sedikit demi sedikit, perbualan kami beranjak ke perjalanan Haji Abah dan Ummi. Abah mengiakan pertanyaan Ayah Kie sama ada kami mendapat tawaran ke Tanah Suci.

Lebih menarik, Cik Dah mengeluarkan pakaian yang digunakan untuk menunaikan Umrah baru-baru ini.Ada jubah, telekung, beg uncang kasut, juga kain ihram. Cik Dah menceritakan suasana ketika mereka mengerjakan ibadat Umrah, dan penggunaan pakaian di sana. Disarankan agar Ummi membawa beberapa helai telekung untuk menunaikan ibadat di sana kelak. Ini untuk memudahkan perjalanan ibadat nanti.

Banyak perkongsian yang Abah dan Ummi peroleh. Terima kasih, Ayah Kie dan Cik Dah. Kemeriahan berhari raya bertambah bagi kami berdua. Sememangnya, jangka masa sebulan lebih ini begitu mengujakan, di sebalik itu juga makin mendebarkan hati. Seolah-olahnya, suatu penantian yang tak terbendung.....

Doa Abah dan Ummi sentiasa, Ya Allah...permudahkanlah perjalanan kami berdua....

Tuesday, September 22, 2009

Wang Naik Haji Dideditkan

Pagi ni, ke Bank Rakyat di KK utk tengok baki TH. Urusan yang mudah kerana akaun TH telah diaktifkan menggunakan kad Bank Rakyat. Setelah disemak baki, jelaslah bahawa wang sebanyak RM 7,704.00 telah dimasukkan ke akaun Syarikat BTT. Maka, kesemua jumlah bayaran untuk pakej Haji yang diambil telah dijelaskan semuanya.

Dengan kata lain, masa untuk ke sana makin menghampiri. Alhamdulillah, dalam gembira ada debarnya. Abah dan Ummi amat-amat bersyukur atas nikmat dan kemurahan Allah kepada kami berdua. Moga perjalanan Abah dan Ummi akan sentiasa di dalam keredhaanNya....

Sunday, September 20, 2009

Syawal - Bermula Bulan Haji

Syawal hingga 10 Zulhijjah merupakan bulan-bulan Haji. Jadi, bermulanya Aidil Fitri 1430 H ini, makin terasa bahawa masa semakin mendekati tarikh yang ditetapkan. Tinggalhampir dua bulan sahaja lagi.

Sambil berhari raya di kampung tadi, Abah beritahu Ibu tentang hasrat kami untuk meletakkan anak-anak di bawah jagaan Ibu sepanjang kursus Perdana kelak. Persetujuan Ibu memberikan seribu nikmat kepada Abah dan Ummi. Tiada yang perlu dikhuatirkan lagi. InsyaAllah, masa yang bakal menjelang, akan Abah dan Ummi tunggu dengan sepenuh jiwa. Penuh kesyukuran kepadaMu, Ya Allah....

Saturday, September 19, 2009

Kursus Haji Perdana 1430 H

Sebelum ini, sebarang surat dari TH mencatatkan Abah dan Ummi sebagai Bakal Haji Standby. Tapi, dengan kehadiran surat mengikuti Kursus Haji Perdana, Abah dan Ummi dinyatakan sebagai Bakal Haji Terpilih. Alhamdulillah.

Tarikh : 2 dan 3 Oktober 2009
Tempat : IKBM Tangok, Jelawat, Bachok, Kelantan
Atur Cara :
Sesi Taklimat dan Praktikal berkaitan ibadat Haji.

Slip Kehadiran perlu diserahkan di meja pendaftaran semasa hari kursus.

Setinggi-tinggi kesyukuran Abah dan Ummi tujukan kepadaMu......

Thursday, September 17, 2009

Menyelesaikan Baki Bayaran Syarikat BTT

Balik dari sekolah tadi, Abah dan Ummi terus ke bandar KB. Tujuannya untuk ke pejabat TH di sana. Abah dan Ummi bercadang menyelesaikan baki bayaran yang perlu dijelaskan untuk Syarikat BTT. Seingat Abah, pada hari-hari akhir Ramadhan, biasanya akan ramai orang berurusan di pejabat TH. Jadi, Abah membuat bayaran parking kereta untuk tempoh lebih 2 jam.

Apa yang berlaku ialah tidak ramai yang berurusan di pejabat TH petang ini. Jadi, amat mudah dan cepat untuk Abah dan Ummi menyelesaikan urusan kami. Seterusnya, Abah dan Ummi terus ke pejabat BTT yang letaknya tidak berapa jauh dari pejabat TH itu. Abah dan Ummi disambut dengan senyum sopan pegawai di sana. Dan urusan di sana juga tidaklah mengambil masa yang lama. Abah dan Ummi kemudiannya diberikan beg-beg pakaian, serta kain telekung untuk Ummi.

Alhamdulillah, moga Abah dan Ummi terus dipermudahkanNya......

Alhamdulillah.... Makin Dekat....

Macam biasa, sambil buka pintu pagar, Abah akan ambil surat-surat yang diletakkan dalam peti surat. Ada beberapa surat yang terikat kemas. Abah hanya menyangka surat biasa tentang bil-bil yang perlu dilunaskan. Jadi, hanya selepas beberapa ketika baru Abah ambil dan perhatikan. Sepucuk surat berlogokan TH. Tiada apa yang ada dalam fikiran Abah, memandangkan baru beberapa hari lepas Abah ke pejabat TH untuk menyerahkan pasport Abah dan Ummi.

Namun, kandungan surat di tangan Abah amat mengujakan. Kesyukuran sahaja yang mampu Abah luahkan ke hadrat Ilahi. Alhamdulillah, Abah dan Ummi menerima jemputan untuk menghadiri Kursus Perdana di Tangok, Bachok, pada 1 dan 2 Oktober ini. Syukur yang tidak terhingga. Tarikh yang dinyatakan pula jatuhnya pada hari Jumaat dan Sabtu. Sekali lagi Abah melahirkan kesyukuran ke hadratNya. Dengan tarikh dan hari tersebut, memudahkan kerja buat Abah dan Ummi, kerana ianya tidak berkait dengan hari kerja Abah dan Ummi.

Alhamdulillah...Syukur di atas nikmatmu, Ya Allah.....

Tuesday, September 15, 2009

Melawan Gerakan Jam

Suatu perkara yang mudah dilakukan, seandainya kita mengetahuinya. Dalam sehari, akan sentiasa ada beberapa kali kita melakukan sedemikian. Maka, bukankah lebih baik kita melakukannya dengan mengikut sunnah? Ianya berkenaan mengacau minuman atau makanan.....

Abah beritahu Ummi, apabila hendak mengacau sebarang makanan dalam periuk, air minuman dalam cawan, dan sebagainya, maka ada suatu perlakuan yang menurut sunnah.Apabila dilakukan, sudah pasti akan beroleh pahala, InsyaAllah. Perkara yang sangat-sangat mudah, iaitu gerakan mengikut lawan jam. Dulu pun Abah tidak mengetahui tentang hal ini. Maka, setiap kali mengacau air minuman, kopi contohnya, Abah hanyalah bertindak semata-mata untuk melarutkan gula. Mungkin Ummi yang mengacau gulai di dalam periuk, melakukannya semata-mata kerana keperluan berbuat demikian. Rupa-rupanya, tindakan kita itu, jika dilaksanakan sebagaimana sunnah, maka tentulah akan beroleh ganjarannya. Abah mengetahuinya pun sebenarnya melalui siaran radio IKIM. Ketika itu, hari Jumaat, dan Abah sedang memandu kenderaan dalam perjalanan pulang dari kelas tambahan di sekolah Abah. Rancangan temu bual dengan seorang Chef di radio IKIM. Dari beliaulah Abah mengetahui tentang perkara ini. Mulai detik itu, Abah memulakan tindakan sebagaimana dinyatakan.

Kemudiannya, Abah terfikir, mengapa mengacau mengikut lawan jam? Agak lama melamun, Abah teringat tentang pusingan tawaf. Abah terfikir, bukankah manusia melakukan pusingan tawaf secara melawan gerakan jam? Apabila seseorang sedang melakukan tawaf, maka beliau akan mengirikan Kaabah. Ini sebenarnya andaian Abah yang kurang berilmu ini. Tapi, apabila difikir-fikirkan, ada kelogikannya. Wallahua'lam.....

Mungkin pemikiran Abah kerana hasrat yang sangat mendalam untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini. Ya Allah, permudahkanlah kami untuk ke Tanah Suci. Perkenankanlah harapan kami ini......

Sunday, September 13, 2009

Astaghfirullahal 'azim... Tidak terdetik di Hati Ini....

Astaghfirullah..... Dimulakan catatan ini dengan penuh perasaan agar diampunkan Allah akan diri ini. Di sekolah, teman baik, Cikgu F menanyakan tentang tarikh Haji. Sebenarnya, Abah baru selesai menelefon Syarikat BTT menanyakan soalan yang sama. Jawapan yang menggembirakan dan Abah mengucapkan kesyukuran ke hadratNya. Pegawai yang Abah hubungi menyatakan Abah sudah boleh untuk membuat bayaran bagi memenuhi jumlah yang sepatutnya dijelaskan.

Apa yang menjadikan hati Abah sendu ialah pertanyaan Cikgu F tadi. Tidaklah Abah menyalahkannya, yang sekadar ingin tahu perbelanjaan yang akan Abah bayarkan nanti. Tetapi, selepas Abah memberitahu beliau, tiba-tiba Abah khuatir bahawa ianya menyebabkan hati Abah berbolak-balik. Terpaksa kemudiannya Abah menjelaskan kepada Cikgu F tentang duduk perkara sebenarnya. Alhamdulillah, beliau memahami keadaan diri Abah.

Esok pula, Abah dan Ummi akan ke pejabat TH di PM ini untuk urusan penyerahan pasport. Moga dipermudahkan olehNya. Juga dipohonkan agar diperkenankan hasrat Abah dan Ummi untuk ke Tanah Suci pada musim ini. Itulah doa Abah dan Ummi.....

Friday, September 11, 2009

Bila Hati Sudah Di Sana

Haji...Haji...Haji...
Perkataan itulah yang banyak bermain di minda. Jiwa ditumpukan ke sana.Doa sentiasa membasahi bibir semoga mendapat jemputanNya. Kala ini, teringat semula apabila mendapat surat dari Tabung Haji tempoh hari. Dijelaskan bahawa kuota haji sudah penuh, dan tidak terpilih untuk musim ini. Hati terkedu. Lemah longlai rasanya untuk meneruskan langkahan. Apabila Ummi bertanyakan tentang surat tersebut, Abah hanya mampu menyerahkan ke tangan Ummi untuk dibaca sendiri.

"Tak dapat?"tanya Ummi, apabila melihat Abah sekadar mendiamkan diri sahaja.
"Sabarlah, abang. Bukan giliran kita untuk menerima jemputanNya," kata-kata Ummi tiba-tiba menyedarkan Abah.

Tiba-tiba juga Abah tersedar bahawa usaha kita hanyalah menyiapkan apa yang seharusnya dilaksanakan. Selebihnya, doa serta tawakal kepadaNya.
Dan, dengan doa dan tawakal itulah Abah terus mengikuti kursus Haji Bersiri yang telah Abah ikuti selama ini. Dan, dari situlah juga tiba-tiba Abah digerakkan hati untuk memberitahu hal ini kepada pegawai TH yang berada di Masjid tempat Abah mengikuti kursus tersebut. Perbualan kami menjurus kepada besarnya hajat Abah untuk ke Tanah Suci. Dan, tiba-tiba juga, beliau menyatakan kesudiannya untuk menolong Abah membuat rayuan buat kali kedua, mudah-mudahan akan diterima oleh pihak atasan.

Dan, rayuan itulah kini Abah tersenarai sebagai standby.
Doa Abah, perkenankanlah Ya Allah....

Thursday, September 3, 2009

Penyerahan PAM

Surat dari Pejabat Tabung Haji PM tiba lagi. Kali ini bakal haji sama ada terpilih dan menunggu dikehendaki menyerahkan PAM pada 14 September 2009 antara pukul 8.30 pagi hingga 3.00 petang.

Saturday, August 22, 2009

Solat Jenazah - Mudahnya....

Berikut cara-cara solat jenazah dilakukan.
1. Berdiri tegak bagi orang yang berkuasa.
2. Niat serta takbiratul ihram " Sahaja aku sembahyang jenazah kerana Allah Taala".
3. Takbir
4. Baca al-Fatihah.
5. Takbir
6. Baca selawat sekurang-kurangnya "Allah humma solli'ala Muhammad"
7. Takbir
8. Baca doa untuk mayat : "Allah hummagh fir lahum"(ramai)
9. Takbir
10. Baca doa : "Allah hummala taf rin na ajroh"
11. Memberi salam
(Gunakan bacaan yang betul).

Thursday, August 20, 2009

Kenangan Haji Ayah - Manusia atau .....

Ayah masih teringat kenangan-kenangan manisnya di Tanah Suci. Antara yang tak luput dalam ingatan Ayah ialah semasa di Madinah. Oleh kerana Ayah merupakan antara jemaah awal, maka Ayah akan ke Madinah dahulu sebelum memasuki Makkah. Dengan kata lain, Ayah mengerjakan Haji Tamattuk. Hari terakhir di Tanah Suci MAdinah merupakan antara kenangan yang amat diingati oleh Ayah. Acap kali juga Abah mendengar cerita Ayah. Cerita yang sama, berulangan, tetapi tidak pernah membosankan, baik kepada Abah sebagai pendengar, apatah lagi bagi Ayah yang mengalaminya sendiri. Sebelum ini, Abah kerap juga membaca kisah-kisah sebegini melalui majalah-majalah tentang pengalaman tetamu Allah di Tanah Suci.

Pada hari terakhir itu, Tabung Haji menasihatkan supaya bakal jemaah haji yang akan bertolak ke Makkah, melakukan Ziarah Wida' pada petang nanti. Ayah pula berpandangan berlainan. Hati Ayah berat untuk menziarahi Rasulullah pada pagi itu juga, kemudiannya jika ada kesempatan, akan ke Masjid pada petang pula.

Pelawaan Ayah kepada rakan sebilik untuk sama-sama ke Masjid pada pagi itu tidak mendapat sambutan. Alasan yang diberi ialah suasana Masjid yang sesak pada sebelah pagi. Jadi, akhirnya Ayah berseorangan ke Masjid. Betul kata rakan sebilik tadi, suasana dalam Masjid begitu sesak. Ayah tersandar di tiang dalam Masjid. Tanpa disedari, air mata mula mengalir. Mungkin Ayah mengenangkan Rasulullah yang akan ditinggalkan nanti.

Tiba-tiba bahu Ayah dicuit. Seorang pemuda yang tidak dikenali berada di sebelah Ayah. Dari mulutnya keluar pertanyaan, "Ziarah? Ziarah?". Ayah mengangguk. Tanpa dipinta, pemuda tadi membangunkan Ayah dan memegang erat. Langkahnya terus ke makam Rasulullah dan sahabat. Tiada kesesakan yang Ayah rasakan tadi. Begitu mudah untuk Ayah berada di makam Rasulullah. Pemuda tadi memberitahu Ayah tentang makam Rasulullah, seterusnya sahabat-sabahat baginda. Di pengakhirannya, Ayah menoleh. Tiada lagi pemuda itu. Tidak sempat untuk diucapkan penghargaan atas pertolongannya itu.

Apabila Ayah menceritakan kepada rakan-rakannya, ada yang mengatakan, "Mungkin malaikat?" Entah...... Apa pun, Ayah begitu bersyukur sekali atas pertolongan tersebut. Kenangan itulah yang menjadi dorongan Abah dan Ummi agar diperkenankan Allah s.w.t. untuk kami berada di Tanah Suci kelak. Perkenankanlah doa kami, Ya Allah....

Thursday, August 13, 2009

Kursus Bersiri Terakhir Batuta Travel

Abah dan Ummi tiba di KB dalam pukul 3.00 petang. Seminggu tidak masuk ke bandar KB, rupa-rupanya telah berlaku perubahan jalan raya di pusat bandar itu. Perubahan ke arah yang lebih baik. Abah harap perubahan juga berlaku dalam diri Abah ke arah lebih diredhaiNya.

Dalam kursus terakhir ini, Ustaz Taufik menghuraikan semula tentang pelaksanaan ibadat haji. Juga amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan semasa di Tanah Suci kelak. Abah dapat merasakan pengetahuan Abah semakin baik dan pemahaman juga lebih baik dari sebelum ini. Alhamdulillah.

Dapat Abah ambil beberapa perkara yang sebaiknya dilaksanakan berterusan dari hari ini lagi. Misalnya, sembahyang tahajud, taubat, witir dan tasbih. Di Tanah Suci, kita sewajarnya sentiasa melaksanakan ibadat-ibadat tersebut. Seterusnya dinyatakan betapa pentingnya setiap bakal haji menyemai sifat sabar dalam diri. Ini akan berlaku perkara-perkara tidak diingin jika kita tidak menanam sifat tersebut dalam diri.

Ustaz Ghani pula menjelaskan bahawa bakal-bakal jemaah haji yang berstatus terpilih dan menunggu bolehlah mula membayar wang ke pejabat Batuta Travel mulai bulan Ramadhan ini. Persiapan boleh dibuat mulai sekarang untuk melahirkan keikhlasan dalam beribadat. Dijelaskan tentang dam-dam yang perlu dibayar jika melakukan perkara-perkara yang berkaitan. Abah begitu teruja, terutama bila dinyatakan bahawa Abah boleh mulai membayar wang haji kepada pihak Batuta Travel. Serasa Tanah Suci makin menggamit Abah. Abah memohon kepada Allah s.w.t. agar permohonan Abah dan Ummi diperkenankanNya. InsyaAllah....

Monday, August 10, 2009

Teruja - Hadiah-Hadiah THTS Untuk Puan R

Abah bertembung dengan Puan R, tapi, Abah tidak menanyakan apa pun tentang taklimat yang dihadirinya kelmarin. Abah pasti Ummi akan bertanyakan Puan R dengan lebih lanjut. Sesama rakan sekerja dan sama jantina, tentulah lebih mudah untuk berbicara.

Dalam perjalanan pulang, Ummi beritahu bahawa Puan R telah diberikan barangan hadiah oleh THTS. Apa yang menariknya, pegawai THTS memberitahu Puan R, sekiranya beliau tidak terpilih menunaikan fardhu Haji pada tahun ini, maka barangan tersebut dianggap merupakan sedekah dari pihak THTS. Agak ramai juga yang menghadiri taklimat tersebut, hampir-hampair 100 orang.

Sekali lagi, Abah dan Ummi memanjatkan doa agar kami terpilih juga menunaikan ibadat Haji.

Sunday, August 9, 2009

Teruja - Rakan Sekerja ke Taklimat Pakej THTS

Sekarang ini, sebarang berita tentang Haji begitu mengujakan Abah, juga Ummi. Apatah lagi dengan harapan tinggi untuk ke Tanah Suci. Seorang rakan sekerja Abah, Puan R telah membuat rayuan dan mendaftar dengan pakej THTS. Baru-baru ini beliau memberitahu bahawa telah menerima surat untuk taklimat dan mengambil barangan hadiah bagi yang mendaftar dengan THTS. Tempatnya agak istimewa, iaitu salah sebuah hotel yang terkenal di bandar KB ini. Walaupun Puan R mengikuti pakej yang berlainan daripada Abah dan Ummi, namun hati Abah dan Ummi turut teruja. Perasaan tidak sabar untuk mendengar berita tentang taklimat yang dihadiri tadi. Esok serasa lambat menjelang. Ummi beritahu bahawa Ummi hendak bertanyakan tentang taklimat tersebut. Tak dilupakan, doa Abah dan Ummi sepanjang masa, agar dijemputNya ke Tanah Suci....

Apabila Hati Dicuit OlehNya

Abah berbual-bual dengan ayah. Seperti biasa, antara perkara yang diperkatakan ialah tentang Haji. Tiba-tiba ayah memberitahu tentang seorang saudara ayah yang akan berangkat ke Tanah Suci beberapa hari lagi. Apa yang menarik, mereka pergi berkumpulan dan akan berada lama di sana. Semoga berjaya dalam perjalanan mereka....

Ayah juga menyatakan bahawa seseorang telah menawarkan pakej untuk mengerjakan umrah dengan harga yang murah sekali. Terkejut Abah apabila ayah memberitahu bahawa pakej tersebut hanya memerlukan RM 5,000.00 untuk 2 orang. Abah tanya bagaimana pandangan ayah. Sekarang media massa banyak melaporkan tentang pakej murah ke Tanah Suci, tetapi terbengkalai. Seperti yang Abah fikirkan, nampaknya ayah juga mengesyaki ada sesuatu yang agak tidak kena dengan harga tersebut. Seharusnya kita perlu berhati-hati agar tidak menyesal di kemudian hari.

Bagi Abah pula, sentiasa berdoa dan menaruh harapan agar dikurniakan jemputan olehNya untuk menunaikan Rukun Islam tersebut....

Saturday, August 8, 2009

Haji - Bagaimana Mulanya....

Abah dan Ummi mendaftar untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun 2004. Itu pun, pada asalnya, dalam fikiran Abah, ingin meletakkan sejumlah wang hasil bonus pada tahun 2004. Ini kerana Abah dapati bonus-bonus yang diperoleh sebelum ini seolah-olah hilang begitu sahaja. Jadi, pada tahun itu, Abah mengajak Ummi ke pejabat TH Pasir Mas dan masukkan sejumlah untuk membolehkan pendaftaran haji dibuat. Abah dan Ummi diberikan tarikh 1430H / 2009M. Selepas itu, ianya berada setakat itu. Jarak 5 tahun yang diberikan dirasakan masih lama lagi. Tambahan pula, asalnya untuk memastikan bonus tahun tersebut selamat disimpan.

Bagaimana mula? Tahun 2005, ayah Abah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun TH nya dan memulakan proses rayuan. Abah turut ke pejabat TH di KB untuk urusan ayah. Apabila ayah mendapat status menunggu, kelihatan begitu gembira sekali, sedangkan Abah masih seperti sedia kala. Hujung tahun tersebut, ayah menerima surat bahawa tiada kekosongan pada musim haji itu. Abah melihat ayah begitu sugul. Sedikit perasaan menjalar ke dalam diri Abah. Mengapa ayah begitu sekali perasaannya? Ayah meluahkan isi hatinya kepada Abah tentang harapan tingginya untuk ke Tanah Suci.

Setahun kemudian, ayah berada dalam senarai terpilih. Begitu gembira sekali ayah, dan juga ibu. Buat kali kedua, ayah dan ibu mengikuti kursus haji bersiri. Dan pada masa yang ditetapkan, ayah dan ibu akan berangkat ke Tanah Suci. Abah dan Ummi turut menghantar ayah dan ibu ke Lapangan terbang Pengkalan Chepa. Di sinilah bermulanya ..... Selesai bersalaman dengan ibu dan ayah, tiba-tiba sahaja Abah meminta agar ayah dan ibu tidak lupa mendoakan agar Abah dapat juga menunaikan fardhu haji kelak. Di situlah mulanya catatan hati Abah....

Keberangkatan rakan-rakan sekerja Abah ke Tanah Suci pada tahun-tahun selepas itu begitu mengujakan Abah. Setiap kali mengunjungi mereka, tidak lupa untuk Abah meminta agar didoakan di Tanah Suci agar Abah dapat turut sama berkunjung ke sana. Hati dan jiwa Abah semakin dekat untuk ke sana.

Abah dan Ummi sentiasa berdoa agar Allah s.w.t. akan mengurniakan jemputanNya kepada kami berdua.....

Thursday, August 6, 2009

1 Jam Kedua di Batuta Travel

Petang ini, seperti biasa Abah ke pejabat Batuta Travel di KB untuk mengikuti kursus haji bersiri yang dianjurkan oleh pihak Batuta Travel. Walau bagaimanapun, Abah hanya berkesempatan mengikutinya pada pukul 4.00 petang, disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan. Dalam perjalanan, Abah berdoa agar dimudahkan untuk Abah meletakkan kereta, kerana pada kebiasaannya, begitu susah untuk mencari tempat letak kereta pada waktu sebegini. Alhamdulillah, hampir di pejabat Batuta, dalam kepenuhan kenderaan di segenap tempat letak kereta, sebuah kereta ingin keluar dari tempat letak kereta. Abah betul-betul berada di belakangnya. Maka, dapatlah Abah meletakkan kereta berhampiran sahaja dengan pejabat Batuta.

Abah hanya berkesempatan mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Ghani. Beliau memberikan kuliah tentang apakah yang akan dilakukan sepanjang berada di Tanah Suci kelak. Ianya bermula dengan ketibaan di Madinah, diikuti dengan Makkah dan seterusnya mengerjakan ibadat haji. Di Madinah, jemaah dinasihatkan untuk membanyakkan membaca al-Quran. Jadikan keazaman dalam diri untuk menghafal beberapa ayat suci sepanjang berada di Madinah nanti. Penerangan yang terperinci membolehkan Abah dan hadirin lain memahami dengan lebih mendalam tentang aktiviti yang bakal dilaksanakan kelak. Juga dihuraikan suasana yang akan dihadapi semasa di tanah suci nanti. Bakal-bakal jemaah juga diberikan peringatan agar sentiasa bersabar menghadapi keadaan di sana kelak. Seterusnya, diterangkan kepentingan mengikuti peraturan yang dibuat oleh pihak Batuta di sana. Ini semua akan melancarkan lagi perjalanan haji nanti.

Apa yang menarik, pada hari ini, semua yang mengikuti kuliah dihidangkan air zam-zam dan buah kurma sebagai hidangan. Terima kasih kepada pihak Batuta, dan Abah sentiasa berdoa agar Allah menjemput Abah dan Ummi ke Tanah Suci kelak.

Wednesday, August 5, 2009

Di Mana Nak Ditinggalkan Anak-Anak?

Hari Isnin lepas, sepulangnya dari Kursus Haji Intensif, Abah ditegur oleh salah seorang penduduk di kawasan perumahan Abah. Selepas diberitahu, rakan Abah tadi kelihatan terkejut dan menanyakan soalan tentang masalah anak-anak. Di mana akan ditinggalkan anak-anak Abah apabila sampai masanya kelak.

Sebenarnya, perkara ini telah lama dibincangkan

Kursus Haji Intensif - 3 : Semua Sama di SisiNya

Teringat Abah semasa mengikuti kursus Haji Intensif. Ianya berkaitan hubungan kita sesama insan. Dalam kursus ini, antara yang turut serta ialah Mudir Maahad Muhammadi (L), Ustaz Zainuddin dan isterinya. Ustaz Zainuddin sebenarnya telah 2 kali hadir ke SMK SIS untuk memberikan ceramah kepada pelajar-pelajar di sana. Juga, Angah (anak ke-2 Abah) turut belajar di Maahad Muhammadi (L). Jadi, semasa menjamu sekera semasa rehat, Abah mengambil kesempatan untuk bertemu dan berbual dengan Ustaz Zainuddin. Beberapa perkara dilontarkan, terutamanya tentang persekolahan Angah. Abah dapati, jawapan yang diberikan oleh Ustaz begitu tepat, teliti dan mengesankan. Abah kisahkan juga kejadian kemalangan yang menimpa Abah dan Angah dalam perjalanan pulang dari Maahad Muhammadi (L) tempoh hari. Dan Abah mendapat simpati yang bukan sedikit dari Ustaz.

Kesempatan yang ada dengan masa yang terhad itu, memberikan kesan di hati Abah, bahawa pangkat sebagai Mudir di sebuah institusi yang terkenal di Kelantan, bahkan di Malaysia, bukanlah halangan untuk perhubungan antara insan. Terima kasih kepada Ustaz yang tidak segan beramah mesra, walaupun jelas bahawa Abah hanyalah seorang yang tidak berpangkat tinggi seperti beliau. Bahkan, Ustaz turut membantu Abah semasa praktikal memakai ihram tempoh hari. Agak terkial-kial juga Abah memakai ihram. Ustaz membetulkan cara pemakaian Abah.

Sesungguhnya, manusia yang tinggi di sisiNya ialah orang yang paling bertaqwa....

Kursus Haji Intensif - Makin Teruja....

Hari kedua Kursus Intensif Haji menggunakan video tentang pengurusan haji. Ianya menghuraikan secara panjang lebar dari peringkat awal hinggalah kembali semula ke tanah air. Abah dapat perhatikan semua bakal jemaah begitu tekun dan teruja mengikuti siaran tersebut. Abah sendiri tidak dapat dinyatakan perasaan dalaman Abah. Sangat-sangat teruja. Perjalanan haji yang digambarkan serasa dekat di hati. Serasa tidak sabar lagi untuk turut menyertai jutaan hamba Allah menunaikan Rukun Islam itu. Begitu jelas suasana di setiap tempat yang akan dilalui kelak.

Hari kedua ini juga diadakan ujian untuk memastikan kefahaman bakal jemaah haji tentang perkara-perkara yang telah dibincangkan sebelum ini. Sebanyak 25 soalan dikemukakan. Di akhir kursus, pegawai TH mengumumkan nama semua yang dapat menjawab dengan betul, di samping menyatakan tentang beberapa soalan yang mungkin mengelirukan bakal jemaah. Alhamdulillah, Abah dan Ummi adalah antara senarai yang dapat menjawab kesemua soalan dengan tepat.

Berakhirnya Kursus Haji Intensif bermakna tinggal 1 lagi kursus, iaitu Kursus Perdana. Abah berharap Abah dan Ummi akan dapat mengikutinya kelak, di samping berdoa agar Abah dan Ummi adalah antara yang terpilih menunaikan fardhu Haji nanti. Perkenankanlah doa kami, Ya Allah....

Tuesday, August 4, 2009

Cepatnya Kursus Berakhir

2 hari Kursus Intensif diadakan. Pada kursus hari ke-2, pegawai TH Pasir Mas, En. Aminuddin memberitahu bahawa jemaah haji berstatus 'standby' berpeluang lebih 90% untuk ke Tanah Suci. Namun, ia bergantung kepada kelulusan kuota tambahan dari Arab Saudi.
Berkaitan jangkamasa kursus, Abah merasakan terlalu cepat masa berlalu. Setiap program dan ceramah yang diadakan diikuti sepenuhnya. Malah, sangat teruja untuk mengikutinya. Kalau sebelum ini, semasa mengikuti kursus-kursus lain, Abah sentiasa berharap agar masa bergerak dengan pantasnya. Tapi, tidak dengan kursus Haji. Apabila masa semakin menghampiri tempohnya, Abah seakan-akan mengharapkan masa akan berpanjangan lagi.

Monday, August 3, 2009

Kursus Haji Intensif - 2

Kelmarin dan hari ini merupakan 2 hari Abah dan Ummi mengikuti Kursus Haji Intensif yang diadakan di SK DAH2, Pasir Mas. Seharian kelmarin, dari pukul 8.45 pagi sehinggalah 5.00 petang, penceramah TH menghuraikan semula amalan-amalan berkaitan haji. Dimulakan dengan sejarah bagaimana Rasulullah s.a.w. mengerjakan haji. Dijelaskan lagi tentang 3 jenis haji yang boleh dilaksanakan kelak, iaitu Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran. Rasulullah s.a.w. mengerjakan Haji Ifrad, Aishah mengerkan Haji Tamattuk, manakala sahabat2 pula mengerjakan Haji Qiran. Ustaz memberikan ulasan panjang lebar bagi setiap jenis haji. Sedikit soal-jawab, yang perlu dijawab sendirian ditanya untuk memastikan pemahaman setiap bakal haji. Abah dan Ummi merasakan kefahaman kami lebih mendalam selepas penerangan oleh Ustaz.
Sesi praktikal juga begitu mengujakan. Abah dan Ummi sudah bersedia dengan 21 biji anak batu untuk praktikal melontar jamrah. Sebelum itu, setiap bakal haji lelaki dikehendaki memakai ihram. Nampak mudah, tapi, bila sampai masanya agak terkial-kial juga Abah nak memakainya. Terpaksa minta bantuan orang lain. Akhirnya, Ustaz sendiri terpaksa masuk campur dan menunjukkan cara pemakaian yang betul. Abah pula dijadikan contoh di hadapan peserta lain tentang cara pemakaian ihram tersebut.
Seterusnya, praktikal tawaf. Di sini, Ustaz menjelaskan panjang lebar cara-cara tawaf. Kemudian, semua peserta kursus mula melakukan praktikal tawaf, seterusnya saie. Hati Abah amat teruja.
Doa Abah..... Ya Allah. Perkenankanlah harapan kami untuk mengunjungi Baitullah.

Saturday, August 1, 2009

Tarikh Penting Untuk Abah dan Ummi

02 dan 03 Ogos 2009 : Kursus Haji Intensif di SKDAH2
25 Ogos 2009 : Ulang Tahun ....
17 November 2009 : Ulang Tahun ....
17 November 2009 : Ulang Tahun Perkahwinan ke-16

Friday, July 31, 2009

Qunut Subuh di Makkah dan Madinah

Dinyatakan bahawa solat Subuh di kedua-dua Tanah Suci tidak ada bacaan Qunut. Ini kerana Mazhab yang diikuti oleh Arab Saudi. Walau bagaimanapun, sekiranya ingin membaca Qunut secara bersendirian, dibolehkan. Bacaan Qunut yang pendek perlulah dihafal untuk tujuan tersebut. Di sana, Imam akan berada lama dalam keadaan 'iktidal selepas rukuk. Maka bacaan Qunut yang ringkas akan dapat diselesaikan jika kita ingin membacanya.

Solat Jenazah di Masjidil Haram

Kelmarin Abah dan Ummi meneruskan sesi mengikuti kursus haji bersiri yang dianjurkan oleh syarikat pakej haji swasta di KB. Dalam kursus ini, dijelaskan kaifiat solat jenazah. Dinyatakan bahawa selepas setiap solat fardhu di Masjidil Haram, Imam tidak akan membaca wirid seperti yang biasa dibuat di tanah air. Maka individu sendirilah yang memainkan peranan masing-masing selepas selesai solat. Apa pun, diingatkan bahawa, setiap kali selepas solat fardhu, jika diumumkan bahawa ada solat jenazah, maka kita mestilah bersedia untuk menunaikan solat jenazah tersebut. Setiap bakal jemaah diberikan helaian yang mengandungi bacaan dalam solat tersebut. Ini amat baik dan dapat memudahkan kita mempelajarinya.
Selepas selesai solat, janganlah berebut-rebut untuk keluar dari masjid. Lakukanlah ibadat selanjutnya di dalam masjid tersebut. Bukankah ganjaran yang amat besar disediakan oleh Allah s.w.t. untuk sesiapa yang melakukan amal ibadat di Masjidil Haram?

Tuesday, July 28, 2009

Cuti pada 02 dan 03 Ogos

Ahad dan Isnin merupakan hari bekerja. Kursus intensif haji akan diadakan pada hari-hari tersebut. Jadi, Abah berjumpa Boss pagi tadi dan memberitahu keadaan tersebut. InsyaAllah, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Terima kasih atas mudahnya tadi.



Pagi tadi juga Abah telefon pejabat Tabung Haji Pasir Mas, beritahu tentang pasport dan buku rekod rawatan. Menurut pegawai Tabung Haji, Abah kena serahkan kedua-duanya ke pejabat selepas dimaklumkan melalui surat nanti. Jadi, buat sementara waktu, Abah kena simpan dulu, sehingga diberitahu kelak.



Doa Abah dan Ummi.... moga diperkenankan hajat kami.....

Friday, July 24, 2009

Haji - Kenangan Seorang Ayah Yang Tidak Pernah Padam - 1

Ayah dan Mak telah menunaikan fardhu Haji mereka pada tahun 2006 yang lalu. Sekira-kiranya 3 tahun telah berlalu. Namun,Abah rasakan seolah-olah mereka baru sahaja mengerjakan fardhu itu. Apa tidaknya, setiap kali berbual dengan mereka, tidak akan dilupakan kisah-isah semasa mereka mengerjakan haji dahulu. Seoah-olah baru kelmarin. Butiran yang dikisahkan seakan-akan sebati dalam diri mereka. Dan seperkara lagi, ayah terutamanya, sentiasa menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke Tanah Suci. Begitu kuat tarikan itu.
Kelmarin, Abah ke SMK Dato' Mahmud di Besut untuk menyertai para pelajar sekolah Abah yang terlibat dalam pertandingan bola sepak Sekolah-sekolah Primier Peringkat Zon Timur. Sengaja Abah bawa Ayah turut sama. Sekurang-kurangnya kami boleh berbual-bual dalam perjalanan yang memakan masa hampir sejam itu.
Memulakan perbualan ialah pertanyaan Ayah, sama ada Abah dapat atau tidak menunaikan fardhu Haji pada tahun ini. Soalan yang berulangan, tapi tidak jemu ditanya. Jawapan Abah hanyalah InsyaAllah, kalau dijemput olehNya. Kemudiannya, penceritaan Ayah berkisar tentang Hajinya dahulu. Abah hanya menyampuk sekali-sekala. Ayah mengisahkan lagi bagaimana perasaan terkilannya tentang seekor kucing yang 3-4 hari sentiasa merapatinya apabila dia sedang menjamu selera di kedai di Makkah. Ayah kisahkan bahawa kucing itu tidak mahu memakan makanan yang diberinya. Akhirnya, pada hari ke-4, baru Ayah terfikir bahawa setiap kali kucing itu berada berhampirannya, dia sedang memakan ayam di kedai itu. Mungkin kucing itu mahukan makanan yang sedang dimakan Ayah. Dan hari keseterusnya, Ayah beritahu bahawa dia bersedia untuk memberikan ayam kepada kucing tersebut, tetapi, binatang itu tidak datang hingga ke akhirnya. Abah hanya mengiyakan sahaja pengisahan Ayah.
Banyaknya kenangan yang tidak dilupakan. Dan seperti yang kita sering dengar, ramai tetamu Allah yang ke Tanah Suci, akan berazam untuk ke sana lagi. Di akhir perbualan kami, Ayah sekali lagi menekankan agar Abah dan Ummi akan berjaya ke Tanah Suci kelak. Abah dan Ummi juga mempunyai hasrat yang sama. Moga Allah perkenankan hasrat kami....

Wednesday, July 22, 2009

Mudah 1 - Belajar

Kursus intensif akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos nanti. Berdasarkan jadual, ianya bermula pukul 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang. Tarikh-tarikh tersebut ialah hari Ahad dan Isnin, dan ianya merupakan hari persekolahan. Abah sedang berfikir tentang persekolahan Kak Long. Bagaimana Kak Long akan ke sekolah pada hari-hari tersebut? Untuk pergi, tiada masalah, kerana Abah boleh hantarkan, tetapi untuk balik pada pukul 2.10 petang yang menjadi persoalannya. Mulanya, Abah rancang untuk meminta Kak Long tidak menghadiri persekolahan pada hari tersebut. Fikir semula, sedikit sebanyak pembelajaran Kak Long akan terjejas, tambahan Kak Long akan menduduki PMR tak lama lagi. Untuk meminta bantuan rakan, rasanya agak sukar, memandangkan kesemua mereka tidak berada di laluan kami.
Akhirnya, pendapat Ummi diterima. Ummi mencadangkan agar ditanya salah seorang rakan Abah, kalau-kalau beliau boleh membantu. Jadi, tadi Abah terus membincangkan hal ini dengan beliau. Jawapan yang menggembirakan, kerana beliau sanggup menghantar Kak Long. Alhamdulillah...... Apa lagi yang Abah dan Ummi nak perkatakan? Hanya ucapan terima kasih kepada rakan Abah itu.
Syukur tak terhingga juga ke hadrat Ilahi atas kemudahan yang Abah dan Ummi perolehi ini.
Sekali lagi, Alhamdulillah.....

Tuesday, July 21, 2009

PAM - Selesai Sebahagian Perjalanan....

Kalau berdasarkan surat, Abah dan Ummi diminta membuat PAM di pejabat imigresen Rantau Panjang, kerana Abah dan Ummi mendaftar dengan Tabung Haji di Pasir Mas untuk urusan haji. Ummi beritahu, kalau ke Rantau Panjang akan mengambil masa yang panjang, terutamanya untuk balik nanti. Jadi, kelmarin Abah telefon ke Pejabat TH KB bertanya sama ada boleh dibuat PAM di Kota Bharu. Pegawai TH menjelaskan PAM boleh dibuat di Kota Bharu, tetapi hanya pada hari-hari Isnin, Selasa dan Rabu sahaja. Penjelasan ini membuatkan Abah terfikir bahawa begitu mudahnya untuk kita melaksanakan arahan TH tersebut.
Jadi, selepas selesai tugas, Abah dan Ummi terus ke Pejabat Imigresen KB. Urusan bermula pada pukul 3.00 petang. Sejam kemudian, Abah dan Ummi telah berjaya memperoleh PAM itu. Terima kasih atas layanan baik di kaunter pejabat imigresen KB. Keramahan pegawai-pegawai di pejabat ini nyata amat berkesan dalam hubungan dengan pelanggan.
PAM ini perlu diserahkan kepada pejabat TH di Pasir Mas untuk urusan selanjutnya.
Ya Allah, perkenankanlah doa hambaMu ini.

Monday, July 20, 2009

Kursus Haji Intensif - 1

Hari ini 2 pucuk surat berlogokan Tabung Haji berada dalam peti surat, bersama-sama surat lain. Satu dengan nama Abah, dan satu lagi Ummi. Macam selalu, sampul surat yang mempunyai logo TH itu yang Abah buka dahulu. Surat lain, seolah-olahnya tiada di tangan Abah. Ya Allah..... perkenankanlah permohonan hambaMu ini.....
Kandungan surat kali ini tentang Kursus Intensif Haji bagi jemaah di Pasir Mas. Tarikh yang diberikan ialah pada 2 dan 3 Ogos ini. Abah dan Ummi diletakkan dalam Kumpulan 3, mungkin telah ada 2 kumpulan yang mengikuti kursus sebegini. Teruja sekali Abah dan Ummi. Untuk kumpulan 3, dan Abah rasa untuk keseluruhan di Pasir Mas, kursus ini dibuat di Dewan Sek. Keb. Dato' Abdul hamid 2, Pasir Mas. Sekolah ini sebenarnya di laluan Abah dan Ummi setiap hari. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga.
Kemudiannya, Ummi beritahu bahawa pada hari kedua kursus diadakan ujian bertulis. Macam nak menduduki peperiksaan pula. Tapi, apa pun, Abah dan Ummi berserah kepada Allah, moga dipwermudahkan olehNya. Apa yang bermain di fikiran Abah, ialah kedua-dua hari kursus tersebut merupakan hari bekerja, iaitu Ahad dan Isnin. Apa yang Abah kena lakukan? Doa Abah, dipermudahkan jua keadaan ini.
Ya Allah, perkenankanlah harapan kami ....

Sunday, July 19, 2009

Surat Menyediakan PMA....

Setiap kali balik dari kerja, tempat pertama yang Abah tuju, selepas membuka pintu pagar ialah peti surat. Apabila ada sahaja sampul surat berlogokan Tabung Haji, hati Abah makin berbunga. Abah akan segera membuka sampul surat dan melihat isi kandungannya. 3 Julai baru-baru ini, Abah terima surat dari Tabung Haji yang meminta dibuat Pasport Antarabangsa. Abah dan Ummi kena menyiapkannya di Pejabat Imigresen Rantau Panjang. Tarikh yang diberikan ialah 23 Julai ini. Sementara itu, Abah dan Ummi kena siapkan gambar-gambar yang diperlukan. Borang juga perlu diisi lengkap. Menunggu hari Khamis ini, terasa masa lama berlalu. Abah mohon dan mengharapkan Allah s.w.t. memperkenankan hajat Abah dan Ummi. InsyaAllah....

Friday, July 17, 2009

KH 1 - Hikmah dan Falsafah Haji

Abah dan Ummi memulakan Kursus Haji Bersiri di Masjid Kubang Bemban, Pasir Mas. Ianya bermuala pada 6 Mac 2009. Tiga soalan pertama dilontarkan kepada hadirin :
1)Mengapa ingin ke Makkah?
2)Apa yang ingin dibuat di sana?
3)Apa yang mesti dibuat selepas balik kelak?
Soalan-soalan ini hanya dapat dijawab oleh hati kita sendiri. Maka, perlulah keikhlasan dan kejujuran untuk merungkainya.
Antara perkara pokok yang diperkatakan ialah Hikmah dan Falsafah Haji :
1)Pengorbanan diri,
2)Satu cita-cita kerana kita diperintah oleh Allah untuk sujud mengikut arah kiblat,
3)Persamaan,
4)Sabar dan tabah menghadapi ujian Allah serta kata-kata orang sekeliling,
5)Memupuk persaudaraan dan ukhuwah Islamiyah,
6)Gambaran akhirat,
7)Melawan nafsu,
8)Mengejar fadhilat yang besar di Tanah Suci,
9)Mengabdikan diri dan menurut segala perintahNya.
Maka, beruntungkan orang yang pergi ke Tanah Suci, kerana hanya orang yang "dicuit" hatinya oleh Allah akan ke sana.

Antara adab-adab sebelum menunaikan haji pula ialah :
1)Niat yang ikhlas mencari keredhaan Allah,
2)Bertaubat,
3)Perbelanjaan halal,
4)Membawa bekalan dan perbelanjaan yang mencukupi,
5)Mencari teman bagi tujuan saling ingat-mengingati,
6)Mengamalkan doa dan zikir sepanjang perjalanan haji,
7)Membuat wasiat,
8)Menyucikan hati dengan sifat mahmudah dan menghindari sifat mazmumah,
9)Tidak berlebihan dalam segala hal,
10)Mempelajari kaifiat mengerjakan haji.

Dinyatakan juga apabila bersedekah, niatlah untuk orang yang telah meninggal dunia.
Ya Allah, perkenankanlah permohonan kami.....

Teruja....

Paling-paling Abah suka bila melayari laman web sekarang ni ialah bila terjumpa posting2 tentang pengalaman menunaikan haji dan umrah. Kadang-kadang bukan setakat terjumpa, malah Abah akan mencari posting2 berkenaannya. Teruja yang amat-amat sangat. Abah dan Ummi amat-amat mengharapkan agar Allah s.w.t. memberikan jemputanNya kepada Abah dan Ummi untuk turut sama bersama jutaan umat di tanah suci kelak. Melihat panorama di kedua tanah suci, Makkah dan Madinah, makin mengasak diri untuk ke sana.
Kursus Haji Bersiri yang akan melabuhkan tirainya seminggu lagi seakan sekejap dilalui. Berinteraksi dengan bakal-bakal jemaah seakan mendorong diri sendiri. Moga Allah perkenankan permohonan ini.
Hari Khamis, 16 Julai 2009, Abah dan Ummi ke Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Surat pemberitahuan untuk menjalani rawatan tiba di tangan Abah pada 26 Jun lagi. Diberikan masa bermula pukul 8.00 pagi, Abah dan Ummi mengambil keputusan untuk mengikuti masa yang ditetapkan itu. Rasanya awal lagi, tetapi, rupa-rupanya telah ada yang lebih awal dari Abah dan Ummi. Abah mendapat nombor giliran 4, manakala Ummi pula 5. Bermula dengan pemeriksaan tekanan darah, berat dan tinggi, kemudian Abah dan Ummi ke makmal untuk menjalani pemeriksaan darah. Seterusnya, mendaftar di kaunter untuk pengesahan doktor pula. Alhamdulillah, tiada sebarang masalah. Akhirnya, Abah dan Ummi ke bilik rawatan untuk mendapatkan suntikan yang diwajibkan kepada setiap bakal jemaah. Halusnya jarum suntikan yang mencucuk bahu menandakan tamatnya sebahagian daripada prosedur yang Abah dan Ummi perlu ikuti. Keseluruhannya, masa yang diambil kira-kira 3 jam. Alhamdulillah, kesyukuran yang dapat Abah dan Ummi panjatkan ke hadrat Ilahi.
Harapan dan doa Abah dan Ummi, moga diperkenan olehNya.